TAJUK : ASHABUL KAHFI

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Ashabul Kahfi pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.  (pantun)

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

7 pemuda bersatu hati,

Melarikan diri ke dalam gua,

Beratus tahun ditidurkan Ilahi. (Syair)

Rakan-rakan sekalian,

Sebelum kedatangan Islam,  di sebuah negeri bernama Afsus ada seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini memaksa rakyatnya murtad. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu. Namun terdapat tujuh orang pemuda yang beriman dan tidak mahu tunduk kepada raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu.

Tuan-tuan dan puan sekalian,

Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman mereka. Allah berfirman ;

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka di hadapan raja lalu mereka berkata : “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia” (Maksud surah al-Kahfi: ayat 14)

Namun raja yang zalim itu tetap berkeras mahu mereka keluar dari agama mereka. Mereka diancam untuk dibunuh. Oleh kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, mereka bermesyuarat untuk mencari penyelesaian. Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan kampung.

Rakan-rakan sekalian,

Selepas itu, mereka pun lari ke kawasan pergunungan. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama Ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu.

Allah telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut.

Firman Allah ; “Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (Maksud Surah al-Kahfi: ayat 11).

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Mereka ditidurkan selama 309 tahun. Setelah sampai tempoh, mereka pun dibangunkan. Mereka terasa lapar dan menghantar seorang wakil ke Bandar untuk membeli makanan. Pemuda itu hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali.

Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan pemuda itu. Apabila melihat wang yang dibawanya ialah wang lama, dia dituduh menjumpai harta karun. Pemuda itu dibawa mengadap raja mereka yang beriman.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda yang lain dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah.

Rakan-rakan sekalian,

Pengajaran dari cerita ini ialah :

Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.  Kita juga wajib percaya bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu perkara. Tiada perkara yang mustahil dunia ini.

Kedua : Kita juga hendaklah berani untuk mempertahankan agama kita. Berkatalah benar walaupun ia pahit.

“Berkata benar akhlak yang mulia, sifat terpuji semua orang suka….”

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

3 thoughts on “TAJUK : ASHABUL KAHFI

Leave a comment