PERSEDIAAN BAKAL IBU DAN AYAH SEBELUM KELAHIRAN PERMATA HATI

Saya ingin kongsikan beberapa persediaan penting yang perlu bakal ibu dan ayah  lakukan sebagai persiapan untuk menyambut si comel yang sudah lama dinanti-nantikan ‘especially’ kawan-kawan saya yang sedang ‘pregnant’ sekarang ini.

1)      Persediaan Kewangan

Persediaan kewangan untuk menyambut si comel memerlukan perancangan dan persiapan yang rapi mengikut kemampuan supaya kelengkapan dan peralatan penting dapat disediakan. Banyak perkara yang perlu difikirkan terutamanya mengenai barang-barang dan keperluan ibu dan bayi, pemilihan hospital swasta atau kerajaan, penjagaan ibu selepas bersalin dan banyak lagi. Perbincangan dengan kedua pihak suami dan isteri sangat penting supaya masing-masing dapat mengetahui kedudukan kewangan masing-masing dan dapat berbelanja mengikut bajet yang telah ditetapkan.

2)      Persediaan Kesihatan dan fizikal.

Kesihatan ibu yang mengandung sangat penting untuk dijaga supaya bayi di dalam kandungan membesar dengan sihat dan aktif. Makanan yang mempunyai khasiat dan sumber zat vitamin yang tinggi sangat penting untuk diambil terutamanya di awal kandungan. Ada yang mengalami alahan yang teruk dan ada juga yang langsung tidak mengalami apa-apa masalah di awal kandungan hingga bersalin. Para suami perlu sentiasa mengambil berat terhadap kesihatan isteri dan banyak membantu meringankan tugasan isteri di rumah seperti memasak, sidai baju dan sebagainya. Ini kerana si isteri yang mengandung biasanya cepat letih terutamanya di trimester yang ke-3.

3)      Kerjaya- jangan bebankan diri dengan kerja yang berat.

Bakal ibu masih lagi perlu bekerja seperti biasa walaupun sudah berbadan dua lantaran amanah yang telah ditanggungjawabkan. Walaubagaimanapun ketika ini perlulah dikurangkan bebanan kerja dan dikehendaki banyak berehat. Bukanlah sampai tidak buat kerja langsung tetapi kerja yang diberi bersesuaian dengan keadaan kesihatan si ibu mengandung. Pengalaman saya semasa mengandung baru-baru ini ketika berlangsung acara Sukan Sekolah, saya ditugaskan untuk menjadi pengacara majlis perasmian dan pengulas sukan. Pada saya, tugas ini tidaklah berat kerana saya hanya perlu duduk di pentas utama berbanding tugasan lain yang memerlukan berdiri di tengah panas di padang menguruskan murid-murid.

– Sedang seronok menjadi pengulas sukan sekolah semasa mengandungkan Naufal 7 bulan, so sweet memory –

4)      Lakukan rutin harian seperti biasa.

Rutin harian sebagai isteri tetap perlu diteruskan di rumah. Bukanlah istilah banyakkan berehat semasa mengandung boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukan apa-apa kerja dan makan dan tidur sahaja. Cuma kurangkan melakukan aktiviti yang lasak dan kerja-kerja yang agak berat dan mintalah bantuan anak-anak yang sudah besar ataupun dari suami tersayang. Alhamdulillah saya beruntung kerana mendapat suami yang rajin turun dapur dan faham keadaan isteri yang cepat letih terutamanya semasa mengandung.

5)      Membeli peralatan dan kelengkapan bayi.

Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri mengenai waktu bilakah yang sesuai untuk membeli peralatan dan kelengkapan bayi. Ada yang berpandangan elok beli dari awak sikit-sikit supaya ketika masa hampir bersalin nanti tidaklah perlu lagi berjalan-jalan di ‘Shopping Mall’ dalam keadaan perut dah memboyot.

Apa-apa pun terpulang kepada kesempatan masing-masing dan eloklah beli sikit-sikit tapi janganlah beli terlalu awal. Pada saya, masa yang sesuai ialah selepas 6 bulan ke atas kerana ada bayi yang sudah keluar seawal 7 bulan. Pengalaman saya untuk bayi yang pertama baru-baru ini memang saya beli ‘last minute’. Senarai barang-barang yang perlu dibeli jangan lupa dibawa supaya mudah untuk membeli-belah. Jangan beli terlampau banyak kerana biasanya rakan-rakan dan keluarga akan memberi hadiah nanti.

6)      Memilih hospital.

Pemilihan hospital dari awal lagi juga sangat penting dengan mengambil kira faktor kewangan, lokasi dari rumah atau tempat tinggal, keselesaan, pemilihan doktor lelaki atau perempuan dan sebagainya.

Hospital kerajaan dan swasta masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Anda bebas memilih untuk keselesaan si ibu dan juga si comel yang sudah tidak sabar-sabar melihat dunia baru. Eloklah membuat perbandingan dan pergi ‘survey’ sendiri supaya mudah pada hari mahu bersalin nanti.

7)      Berbincang dengan ibu dan ibu mertua.

Hal ini nampak saja remeh tetapi perbincangan perlulah dilakukan oleh kedua belah pihak supaya tidak berlaku perebutan siapa yang mahu menjaga si isteri ketika berpantang nanti. Keselesaan si isteri yang baru bersalin juga perlu diambil kira. Berbincanglah secara baik dan terangkan kepada ibu atau si ibu mertua supaya salah seorang dari mereka tidak berkecil hati.

Semoga tips dan panduan ini boleh dijadikan panduan untuk kita semua…

Advertisements

TEKA-TEKI IMAM GHAZALI

Ada 6 soalan teka-teki Imam Ghazali yang anda perlu jawab ;

1. Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ?
2. Apa yang paling jauh dari kita di dunia ?
3. Apa yang paling besar di dunia ?
4. Apa yang paling berat di dunia ?
5. Apa yang paling ringan di dunia ?
6. Apa yang paling tajam di dunia ?

Marilah kita renungi jawapannya berdasarkan cerita berikut;

Pada suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.
Lalu Imam Al-Ghazali bertanya….

Soalan yang pertama,”Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”.

Murid-muridnya menjawab “orang tua,guru,kawan dan sahabatnya”. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “MATI”. Sebab itu memang  janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran:185)

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua…. “Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”.

Murid – muridnya menjawab “Negara Cina, bulan, matahari dan bintang-bintang”. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan itu adalah benar. Tapi yang paling benar adalah “MASA LALU”. Walau dengan apa cara sekalipun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus manfaatkan hari ini dengan sebaik-baiknya dan sentiasa memastikan bahawa hari-hari yang akan datang adalah yang terbaik dan cemerlang untuk kita.

Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga….
“Apa yang paling besar di dunia ini?”. Murid-muridnya menjawab “gunung, bumi dan matahari”. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah “NAFSU” (Al-A’Raf:179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita dan  jangan sampai nafsu menjerumuskan diri kita ke neraka.

Pertanyaan keempat adalah, “Apa yang paling berat di dunia ini?”.
Ada yang menjawab “besi dan gajah”. Semua jawapan adalah benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah “MEMEGANG AMANAH” (Al-Ahzab:72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mahu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini kerana tidak sanggup menerima taklifan itu. Tetapi manusia dengan sombongnya sanggup memenuhi permintaan Allah SWT, sehingga ramai  manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima adalah, “Apa yang paling ringan di dunia ini?”
Ada yang menjawab “kapas, angin, debu dan daun-daunan”. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah “MENINGGALKAN SOLAT”. Kadangkala, terlampau sibuk dengan kerja dan urusan harian yang lain sehingga ada yang memandang ringan terhadap solat.

Dan pertanyaan keenam adalah, “Apakah yang paling tajam di dunia ini?”
Murid-muridnya menjawab dengan serentak, “pedang”. Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah “LIDAH MANUSIA” kerana melalui lidah, manusia selalunya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Lihatlah betapa kerdilnya diri kita kerana kita adalah makhluk ciptaan Allah Yang Maha Agung. Hakikatnya Allah tidak memerlukan kita dan tidak bersa rugi pun jika kita tidak kembali kepadaNya. Namun hakikat yang sebenar-benarnya ialah kita yang memerlukan Allah sebagai Pelindung dan Pemberi kepada apa yang kita mohon. Alangkah malunya kita jika kita hanya banyak meminta tetapi hubungan kita dengan Allah langsung tidak diperbaiki. Nafsu, mati, menjaga amanah, meninggalkan solat…itu semualah yang sedang berlaku di sekeliling kita. Moga-moga kita mendapat iktibar dan pengajaran untuk kehidupan seharian.

 

PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN SEMASA MENGANDUNG

PERKARA YANG PERLU DIELAKKAN SEMASA MENGANDUNG

1)    Mengidam makanan yang tidak baik.

2)    Makan makanan yang berbisa.

3)    Sifat panas baran (suami dan isteri?

4)    Berpenampilan kurang menarik di depan suami.

5)    Melakukan maksiat terhadap Allah

6)    Jauhi pertuturan yang negatif.

7)    Jangan membuka aurat di depan bukan mahram.

8)    Jauhi amalan khurafat.

AMALAN SEMASA IBU MENGANDUNG

AMALAN SEMASA IBU MENGANDUNG

1)    Banyakkan istighfar dan bertaubat kepada Allah.

2)    Banyakkan berdoa kepada kepada Allah.

3)    Rajin puasa sunat (especially suami).

4)    Rajin solat fardhu dan perbanyakkan solat sunat. (Banyakkan solat berjemaah)

5)    Banyakkan berzikir

6)    Membaca Al-Quran.

7)    Membaca bahan-bahan ilmiah.

8)    Berbual-bual dengan anak dalam kandungan.

9)    Lakukan kerja-kerja ringan dan senaman.

10)                       Tidak terlalu tertekan atau stress.

11)                       Menjaga adab dan emosi.

12)                       Makan makanan yang baik.

13)                       Jauhi daripada sifat dendam dan hasad dengki.

14)                       Rajin mengukir senyuman.

15)                       Rajin menghadiri majlis ilmu.

KENANGAN RAYA AIDILADHA DI KEMBOJA

MUQADDIMAH

Raya Haji pada tahun ini adalah yang paling bermakna kerana dapat merayakan bersama keluarga suami dan penduduk kampung di kampung suami di Potien,Kg. Cham, Kemboja. Sehingga hari ini kadang-kadang saya masih tidak percaya ‘betul ke aku kahwin dengan orang Kemboja ni?’. Bukan apa,setiap hari kami memang cakap Melayu dan sesekali adala saya belajar bahasa Cham dengan suami. Lagipun muka suami saya pun macam orang Melayu sini juga. Sebab itu tak terasa sangat dia orang sana.

DI KAMPUNG SUAMI

Keadaan ini berubah apabila saya berpeluang duduk bersama keluarga suami di sana selama 9 hari..kenangan yang sangat indah kerana saya diterima dengan baik sekali oleh mereka. Saya tidak dibenarkan buat apa-apa oleh ibu mertua saya sehingga mandikan Naufal pun ibu mertua saya yang buat.

– bersama ayah dan ibu mertua di sana –

Saya, Naufal dan suami dilayan bagaikan puteri dan putera raja..cewah..Pada mereka kami pulang ke sana 1 tahun sekali dan mereka akan pastikan kami gembira berada di sana. Kebetulan ini adalah kali ke-2 saya ke Kemboja tetapi berjumpa dengan keluarga suami adalah kali pertama. Saya pernah ke sana pada tahun 2006 atas urusan kerja dan ketika itulah saya berjumpa dengan suami saya yang sedang bercuti belajar di Malaysia. Oh! di sini rupanya jodoh saya, siapa yang sangka kan.  Itulah namanya takdir…Jodoh dan pertemuan di ‘tangan’ Alllah…

BERLAINAN BAHASA

Bahasa Melayu Champa dengan Melayu kita adalah berbeza. Namun ia tidak menghalang saya berkomunikasi dengan mereka di sana kerana selalunya ‘abang’, suami saya sentiasa ada bersama saya. ‘Abang’lah yang akan menterjemah apa yang keluarga atau saudara-mara cakapkan. Lucu juga jika dikenang balik. Ada juga saya terpaksa guna bahasa isyarat kerana suami tiada di rumah ketika itu.

BOLEH CAKAP BAHASA CHAM

Namun lama-kelamaan saya sudah mahir menggunakan perkataan-perkataan yang setiap hari saya dengar. Mereka kata saya cepat ingat dan boleh cakap Cham kalau saya duduk dan bercakap dengan mereka selama 1 bulan. Saya memang suka belajar bahasa yang baru. Di Sarawak pun saya sudah boleh faham dan bercakap bahasa Iban sikit-sikit dan bercakap lughat Sarawak pun sudah biasa. Jadi, di kampung suami pun begitu juga. Saya tak malu tanya dengan anak-anak saudara saya macam orang baru belajar sesuatu bahasa. Seronok juga kerana rupa-rupanya taklah jauh beza bahasa mereka dengan kita. Ada banyak perkataan yang sama dan hampir sama dengan kita.

Di antaranya ialah “tangan” dan “mata”. Mereka pun panggil “tangan” dan “mata” juga. “Lembu” mereka sebut “lemo”,” tak tahu” mereka sebut “tau o” dan sebagainya. Antara perkataan baru yang saya baru belajar “hiya”=”nangis”, “dih=tidur”, “emyai=cakap”, “emnaeh=mandi”, “ik gek?”=tengok apa?” dan banyak lagi la…seronok juga belajar bahasa baru. Dah balik sini pun saya masih terus belajar bahasa Cham dengan suami. Saya pun suruh suami saya cakap bahasa Cham dengan Naufal biar dia tahu banyak bahasa nanti dan senang nak cakap bila balik kampung nanti. 

KORBAN DAN AQIQAH DI POTIEN, KG.CHAM

Ini adalah kali pertama kami membawa kiriman sahabat-sahabat dari Malaysia yang ingin melaksanakan Korban & Aqiqah di sana. Alhamdulillah syukur sangat kami dapat menguruskan urusan penyembelihan 11 ekor lembu untuk Korban (9 ekor) dan Aqiqah ( 2 ekor).

– Majlis penyembelihan lembu aqiqah untuk Naufal and the gang dari Malaysia –

– Majlis jamuan aqiqah di rumah kelurga suami di Kg.Cham-

Alhamdulillah segala urusan korban & aqiqah di sana berjalan lancar dan dapatlah penduduk kampung, saudara-mara banyak daging. Puaslah mereka makan daging tahun ini. Untuk pengetahuan semua, harga daging di sana sangat mahal dan mereka tidak mampu membeli daging. Jadi, setahun sekali la mereka dapat makan daging. Itu pun sebab ada orang luar yang buat korban di sana.

– Saya dan anak-anak saudara sedang memerhatikan orang-orang kampung melapah lembu yang sudah disembelih –

– Sebahagian penduduk kampung sedang mengangkat plastik yang berisi daging yang telah diagih-agihkan kepada mereka –


– Saya dan suami sedang mengagih-agihkan daging kepada sebahagian penduduk kampung –

Saya juga dapat melihat lembu di sana memang banyak tapi tiada orang yang mampu buat korban kerana mereka hidup serba kedhaifan dan miskin. Mereka sangat mengharapkan bantuan kita di sini. Insya Allah tahun depan kami akan meneruskan misi untuk Program Korban dan Aqiqah di Kemboja. Jadi, sesiapa yang berminat untuk menyertainya tahun depan bolehlah hubungi saya dan suami..Penyertaan sahabat-sahabat semua sangat-sangatlah dialu-alukan.