TAJUK : ASHABUL KAHFI

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Ashabul Kahfi pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.  (pantun)

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

7 pemuda bersatu hati,

Melarikan diri ke dalam gua,

Beratus tahun ditidurkan Ilahi. (Syair)

Rakan-rakan sekalian,

Sebelum kedatangan Islam,  di sebuah negeri bernama Afsus ada seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini memaksa rakyatnya murtad. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu. Namun terdapat tujuh orang pemuda yang beriman dan tidak mahu tunduk kepada raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu.

Tuan-tuan dan puan sekalian,

Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman mereka. Allah berfirman ;

“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka di hadapan raja lalu mereka berkata : “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia” (Maksud surah al-Kahfi: ayat 14)

Namun raja yang zalim itu tetap berkeras mahu mereka keluar dari agama mereka. Mereka diancam untuk dibunuh. Oleh kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, mereka bermesyuarat untuk mencari penyelesaian. Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan kampung.

Rakan-rakan sekalian,

Selepas itu, mereka pun lari ke kawasan pergunungan. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama Ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu.

Allah telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut.

Firman Allah ; “Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (Maksud Surah al-Kahfi: ayat 11).

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Mereka ditidurkan selama 309 tahun. Setelah sampai tempoh, mereka pun dibangunkan. Mereka terasa lapar dan menghantar seorang wakil ke Bandar untuk membeli makanan. Pemuda itu hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali.

Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan pemuda itu. Apabila melihat wang yang dibawanya ialah wang lama, dia dituduh menjumpai harta karun. Pemuda itu dibawa mengadap raja mereka yang beriman.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda yang lain dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah.

Rakan-rakan sekalian,

Pengajaran dari cerita ini ialah :

Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.  Kita juga wajib percaya bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu perkara. Tiada perkara yang mustahil dunia ini.

Kedua : Kita juga hendaklah berani untuk mempertahankan agama kita. Berkatalah benar walaupun ia pahit.

“Berkata benar akhlak yang mulia, sifat terpuji semua orang suka….”

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

Advertisements

KISAH NABI MUSA A.S

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Kisah Nabi Musa pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.   (PANTUN)

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah pada masa lalu,

Nabi Musa menuntut ilmu,

Bersama Nabi Khidir yang sangat berilmu,

Menempuh halangan diuji dahulu  (SYAIR)

Rakan-rakan sekalian,

Pada suatu hari, Nabi Musa berdiri di khalayak Bani Israil lalu baginda ditanya, “Siapakah orang yang paling berilmu?” Jawab Nabi Musa, “Aku.” Lalu Allah menegur Nabi Musa bahawa yang paling berilmu ilah Nabi Khidir. Lantas Nabi Musa pun bertanya, “Wahai Tuhanku, dimanakah aku dapat menemuinya?” Allah pun berfirman, “Bawalah bersama-sama kamu seekor ikan di dalam sangkar dan sekiranya ikan tersebut hilang, di situlah kamu akan bertemu dengan hambaKu itu.”

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sesungguhnya teguran daripada Allah itu mencetuskan keinginan yang kuat dalam diri Nabi Musa untuk menemui hamba yang soleh itudan menuntut ilmu. Nabi Musa kemudiannya membawa ikan di dalam sangkar dan berangkat bersama-sama pembantunya, Yusya’. Mereka berdua akhirnya sampai di sebuah batu lalu kemudiannya berhenti untuk beristirehat setelah berjalan jauh.

Secara tiba-tiba ikan yang berada di dalam sangkar itu meronta-ronta dan selanjutnya terjatuh ke dalam air. Dengan kuasa Allah terbentuklah aliran air sehingga memudahkan ikan sampai ke laut. Yusya’ terpegun memerhatikan kebesaran Allah menghidupkan semula ikan yang telah mati itu.

Tuan-tuan dan puan sekalian,

Selepas menyaksikan peristiwa yang sungguh menakjubkan, beliau terus tertidur. Ketika terjaga, beliau terlupa untuk menceritakannya kepada Nabi Musa dan meneruskan perjalanan. Keesokan paginya, barulah Yusya’ teringat untuk memberitahu Nabi Musa tentang peristiwa telah yang berlaku. Setelah itu, mereka berpatah balik untuk kembali ke tempat tersebut yang terletak antara Teluk Suez dengan Teluk ‘Aqabah di Laut Merah.

Rakan-rakan sekalian,

Setibanya di tempat yang dituju, mereka melihat seorang hamba Allah yang berjubah putih bersih. Nabi Musa pun mengucapkan salam dan menyatakan hasratnya untuk menuntut ilmu. Perjanjian pun dilakukan antara mereka supaya Nabi Musa bersabar dan tidak bertanya pada Nabi Khidir sepanjang perjalanan mereka menuntut ilmu. Nabi Musa pun berjanji akan menepati jajnji tersebut.

Dalam perjalanan tersebut terjadilah beberapa peristiwa yang menguji diri Nabi Musa. Disebabkan tindakan Nabi Khidir dianggap aneh, ia membuatkan Nabi Musa mempersoalkannya. Dengan segera Nabi Khidir mengingatkannya lalu Nabi Musa pun meminta maaf.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Akhir sekali, Nabi Khidir pun menjelaskan mengapa beliau melakukan hal-hal yang membuat Nabi Musa bertanya. Kejadian pertama adalah Nabi Khidir membocorkan perahu yang mereka tumpangi. Perahu itu dimiliki oleh seorang yang miskin dan di daerah itu tinggallah seorang raja yang suka merampas perahu miliki rakyatnya.

Kejadian yang kedua, Nabi Khidir menjelaskan bahwa beliau membunuh seorang anak kerana kedua orang tuanya adalah pasangan yang beriman dan jika anak ini menjadi dewasa dapat mendorong ibu bapanya menjadi orang yang sesat dan kufur.

Kejadian yang ketiga (terakhir), Nabi Khidir menjelaskan bahwa rumah yang dinding diperbaiki itu adalah milik dua orang adik-beradik yatim yang tinggal di kota tersebut. Di dalam rumah tersebut tersimpan harta benda yang diwarisi untuk mereka berdua. Jika tembok rumah tersebut runtuh, maka ada kemungkinan harta yang tersimpan tersebut akan ditemukan oleh orang-orang di kota itu yang sebagian besar masih menyembah berhala.

Rakan-rakan sekalian,

Pengajaran dari cerita ini ialah : Pertama : Kita mesti menepati janji dan bersabar ketika belajar. Kedua : Setiap murid harus patuh dan memelihara adab dengan gurunya. Kita perlu berkhlak mulia dan menghormati guru.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

KISAH NABI SULAIMAN DENGAN RATU BALQIS

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Kisah Nabi Sulaiman pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

Nabi Sulaiman yang bijaksana,

Memerintah kerajaan adil dan saksama,

Bersama haiwan-haiwan boleh berbicara.

Rakan-rakan sekalian,

NABI Sulaiman dianugerahkan Allah kebijaksanaan sejak remaja lagi. Beliau juga memiliki pelbagai keistimewaan, termasuk mampu bercakap, memahami dan memberi arahan terhadap jin dan haiwan sehingga semua makhluk itu mengikuti kehendaknya.

Bertitik tolak daripada peristiwa itu, kewibawaan Sulaiman semakin terserlah. Melihat kecerdasan akal yang ditonjolkannya itu, Nabi Daud menaruh kepercayaan dengan mempersiapkannya sebagai pengganti dalam kerajaan Bani Israel. Setelah kewafatan Nabi Daud, maka Nabi Sulaiman pun diberikan kuasa sebagai pemimpin. Beliau juga dapat menundukkan jin, angin dan burung, sehingga dapat disuruh melakukan apa saja, termasuk mendapatkan tembaga dari perut bumi.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Setelah membangunkan Baitulmuqaddis, Nabi Sulaiman menuju ke Yaman. Tiba di sana, disuruhnya burung hud-hud mencari sumber air. Tetapi burung berkenaan tiada ketika dipanggil. Ketiadaan burung hud-hud menimbulkan kemarahan Sulaiman. Selepas itu, burung hud-hud datang kepada Nabi Sulaiman dan berkata: “Aku telah terbang untuk mengintip dan terjumpa suatu yang sangat penting untuk diketahui oleh tuan di Negeri Saba’…”

“Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita bijaksana yang memerintah Saba’ dan mempunyai singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah…”

Mendengar berita itu, Nabi Sulaiman mengutuskan surat mengandungi nasihat supaya menyembah Allah kepada Ratu Balqis. Surat itu dibawa burung hud-hud dan diterima sendiri Ratu Balqis. Selepas dibaca surat itu, Ratu Balqis menghantarkan utusan bersama hadiah kepada Sulaiman.

Rakan-rakan sekalian,

Nabi Sulaiman melayan utusan tersebut dengan baik dan menceritakan pengalaman yang dialami di Yaman kepada Ratu Balqis. Ini membuatkan Ratu Balkis berhajat untuk berjumpa sendiri dengan Nabi Sulaiman. Keinginan Ratu Balqis itu diketahui Nabi Sulaiman terlebih dahulu dan beliau memerintahkan tenteranya yang terdiri daripada manusia, haiwan dan jin untuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Ratu Balqis.

Nabi Sulaiman juga memerintahkan Ifrit supaya membawa singgahsana Ratu Balqis ke istananya. Apabila Ratu Balqis tiba Sulaiman bertanya : “Seperti inikah singgahsanamu?” Dijawab Ratu Balqis: “Ya, memang sama seperti singgahsanaku”. Kemudian Ratu Balqis dipersilakan masuk ke istana Nabi Sulaiman. Namun, ketika berjalan di istana itu, sekali lagi Ratu Balqis terpedaya, kerana menyangka air pada lantai istana Nabi Sulaiman, sehingga menyelak kainnya.

Berkatalah Sulaiman; “Sesungguhnya ia istana licin yang diperbuat daripada kaca”. Berkatalah Balqis; “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman dan kepada Allah, Tuhan semesta alam.”

Peristiwa itu menyebabkan Ratu Balqis berasa sangat aib dan menyedari kelemahannya, sehingga dia memohon ampun atas kesilapannya selama ini dan akhirnya dia diperisterikan oleh Nabi Sulaiman.

Rakan-rakan sekalian,

Pengajaran dari cerita ini ialah :

Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.  Kita juga wajib percaya bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu perkara. Tiada perkara yang mustahil dunia ini.

Kedua : Kita juga hendaklah berani untuk berdakwah dan menyampaikan keindahan Islam kepada sesiapa saja.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

KISAH KETABAHAN NABI AYYUB A.S

Saya ingin kongsikan teks kisah-kisah Nabi dalam Al-Quran yang disampaikan oleh anak murid saya dalam pertandingan bercerita bulan Mac yang lalu. Masih banyak kekurangan kerana masih lagi bertatih untuk menulis teks ini. Moga boleh dimanfaatkan.

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Kisah Nabi Ayub pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.   (pantun)

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

Kisah Nabi Ayyub diuji Ilahi,

Sifatnya alim, beriman dan bertakwa

Digoda iblis yang iri hati… (Syair)

Rakan-rakan sekalian,

Salah seorang malaikat telah berkata; “Aku tidak pernah melihat seorang manusia yang hidup di atas bumi Allah yang lebih baik dari hamba Allah Ayyub. Dia adalah seorang mukmin sejati dan ahli ibadah yang tekun. Walaupun mempunyai harta yang banyak, namun sebahagiannya digunakan  untuk menolong orang fakir miskin. Hari-harinya terisi penuh dengan ibadah, sujud kepada Allah dan bersyukur atas segala nikmat yang yang ada”. Para malaikat mengakui kebenaran itu bahkan menyebut lagi beberapa sifat dan tabiat yang lain yang ada pada diri Nabi Ayyub.

Hadirin sekalian,

Percakapan para malaikat yang memuji-muji Nabi Ayyub itu didengar oleh Iblis laknatullah yang sedang berada tidak jauh dari tempat mereka berkumpul. Mereka merasa panas hati dan jengkel mendengar kata-kata pujian para malaikat. Mereka tidak rela melihat seorang dari anak cucu anak Nabi Adam menjadi seorang mukmin yang baik, ahli ibadah yang tekun dan melakukan amal soleh.

Maka pergilah Iblis mendatangi Nabi Ayyub untuk melihat sejauh mana kebenaran pujian para malaikat itu. Ternyata memang benar Nabi Ayyub patut mendapat segala pujian itu. Siang dan malam sentiasa berada di mihrabnya untuk melakukan solat, berzikir, bertasbih dan bertahmid. Iblis pun menggoda Nabi Ayyub supaya asyik kepada dunia namun usahanya gagal. Telinga Ayyub pekak terhadap segala bisikannya dan hatinya sudah penuh dengan iman dan takwa. Cinta dan taatnya kepada Allah merupakan benteng daripada serangan godaan Iblis laknatullah.

Hadirin yang dikasihi,

Akan tetapi Iblis laknatullah masih tidak berputus asa lalu menghadap Allah untuk menghasut. Ia berkata : “Wahai Tuhan, sesungguhnya Ayyub yang menyembah, bertasbih dan bertahmid menyebut nama-Mu, tidak berbuat demikian seikhlas dan setulus hatinya kerana cinta dan taat pada-Mu. Ia melakukan semua itu kerana takut akan kehilangan semua kenikmatan duniawi yang telah Engkau kurniakan kepadanya”.

Lalu Allah berfirman : “Sesungguhnya Ayyub adalah seorang hamba-Ku yang sangat taat kepada-Ku, ia seorang mukmin sejati, apa yang ia lakukan untuk mendekati dirinya kepada-Ku adalah semata-mata didorong oleh iman yang teguh dan taat yang bulat kepada-Ku.

Seterusnya Allah mencabar iblis supaya menggoda Nabi Ayyub yang terkenal sebagai seorang yang beriman dan bertakwa.

Hadirin sekalian,

Setelah itu, iblis pun mengumpulkan syaitan-syaitan, pembantunya dan bersepakat untuk merosakkan aqidah dan iman Nabi Ayyub. Caranya ialah dengan memusnahkan harta kekayaannya sehingga ia menjadi seorang yang miskin, mencerai-beraikan keluarganya sehingga ia menjadi sebatang kara. Nabi Ayyub juga diuji dengan penyakit kulit yang teruk dan bermacam-macam penyakit yang lain sehingga baginda menjadi sangat kurus. Isteri yang dikasihinya juga meninggalkannya lantaran termakan pujukan syaitan durjana.

Maka tinggallah Nabi Ayyub sendirian dalam kesakitan namun baginda tetap tabah dan sabar kerana yakin dan beriman bahawa Allah sentiasa bersamanya.

Rakan-rakan sekalian,

Nabi Ayyub dipilih sebagai nabi dan teladan yang baik bagi hamba-hamba-Nya sehingga dikenali sebagai simbol kesabaran. Pengajaran dari cerita ini ialah : Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.  Kedua : Kita hendaklah sabar dalam menghadapi apa jua dugaan dan cabaran. Allah sentiasa bersama kita.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.