KONSEP REZEKI

Saya ingin berkongsi dari hasil pembacaan saya dari buku “Rancang Hidup Rancang Wang” ditulis oleh Encik Haron Mohd Yusof mengenai konsep rezeki…

Memandangkan saya baru saja melangkah ke alam perkahwinan, jadi sangat pentinglah untuk saya memahami konsep rezeki kerana apabila sudah berkahwin, maka komitmen dalam pengurusan kewangan semakin bertambah..

Apa yang ingin saya kongsikan ialah berkaitan dengan keyakinan kita terhadap rezeki Allah SWT. Dengan syarat kita berusaha dengan bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal…pasti ade rezki kita yang penting jangan putus asa..Kadangkala duit kita memang cukup-cukup untuk sebulan lantaran banyak benda yang perlu dibeli dan dibayar…Tapi bersyukurlah kerana masih lagi mempunyai perbelanjaan yang cukup berbanding dengan langsung tiada..

Okey..mari kita sama-sama fahami konsep Rezeki..

1) Sembahyang Dhuha Pembuka Rezeki.

Fahamilah sahabat-sahabat sesibuk mana pun kita cubalah curi masa untuk solat Dhuha semasa ada ruang waktu rehat dari bekerja@belajar…Sesiapa yang rajin solat Dhuha akan merasai kesan dalam hidupnya terutamanya berkaitan dengan rezeki yang tidak disangka-sangka…

Peranan sembahyang Dhuha ialah kita akan berdoa dan menyerahkan diri kepada Allah agar diberi rezeki yang melimpah. Selain itu, ia juga akan memberikan ketenangan di dalam mencari rezeki, terutama pada masa yang mencabar buat kita.

2) Sedekah Pembuka Rezeki

Jika kita rajin bersedekah walaupun dalam keadaan cukup-cukup makan saja, nescaya Allah akan melimpah gandakan rezeki kita. Amalan suka bersedekah sebenarnya memberi ketenangan jiwa, mendapat keredhaan dan janji Allah untuk menambahkan pahala dan memperolehi kesejahteraan hidup. Jadi, sesiapa yang ingin menambah rezeki, rajin-rajinlah bersedekah. Contohnya, jika ada masak cucur @ orang Jawa panggil ‘jompot’ lebih sikit, bolehla sedekah pada jiran sebelah. Nampak saja walaupun kecil, tapi jika niat ikhlas kerana Allah Ta’ala..insya-Allah akan mendapat keberkatan dan ganjaran di sisi Allah..

3) Istighfar dan Taubat Menambah Rezeki

Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa memperbanyak membaca istighfar, maka Allah akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak dia sangka”.

Oleh itu, jika ingin rezeki kita sentiasa bertambah, maka banyak-banyakkanlah istighfar dan bertaubat. Insya-Allah kita akan memperoleh rezeki dengan mudah dan cepat.

4) Bertakwalah, Rezeki akan Datang

Sahabat-sahabat sekalian, sifat takqwa akan menahan diri kita dari melakukan dosa dengan meninggalkan larangan dan berusaha meninggalkan perkara harus. Contoh paling ‘simple’ ialah dengan mujahadah untuk makan sesuatu yang betul-betul dari sumber yang halal. Jika kita benar-benar menjaga, Insya-Allah keberkatan akan datang jua dalam kehidupan kita. Kekuatan taqwa dan rezeki di sini ialah pemberian Allah dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan ini akan menambah keimanan bagi mereka yang memerhatikan kekuasaan Allah..

5) Jangan Lupa Bertawakal.

Setelah berusaha dan berdoa bersungguh-sungguh maka janganlah kita lupa untuk bertawakkal kepada Allah SWT. Tawakkal kepada Allah ialah keyakinan bahawa setiap apa yang diterima di dunia ini sama ada kekayaan atau kemiskinan, sakit atau sihat, hidup atau mati dan segala-galanya adalah daripada Allah. Ia akan memberi ketenangan kerana kita telah berusaha sepenuh tenaga. Natijahnya, kita tidak akan kecewa walaupun kadangkala pulangan yang kita harapkan tidak berapa berjaya.

6) Pembuka rezeki Yang Lain.

Amalan-amalan lain yang boleh kita lakukan bagi memudahkan rezeki terbuka ialah;

– Beribadah kepada Allah dengan sepenuhnya.

– Membina silaturrahim.

– Berinfaq di jalan Allah.

– Mengeluarkan zakat.

– Melaksanakan haji dan umrah.

– Memberi nafkah kepada orang yang sepenuhnya menuntut ilmu Syariat atau agama.

– Berbuat baik kepada orang yang lemah.

– Berhijrah di jalan Allah.

– Berdakwah dan berjihad di jalan Allah.

– Berdoa dengan doa-doa yang ma’thur.

Rasanya setakat ini dululah yang dapat saya kongsikan setelah hampir setengah tahun blog saya ni bersawang…macam-macam pengalaman baru yang saya lalui setelah melangkah ke alam perkahwinan…Doakan kebahagiaan kami dan doakan juga moga kami sekeluarga sentiasa dimurahkan rezeki, Amin…

Advertisements

KISAH KETABAHAN SITI HAJAR

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia seterusnya guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Kisah Siti Hajar pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

Seorang isteri dan juga anaknya,

Ditinggalkan suami perintah Ilahi,

Tabah dan sabar ketika diuji.

Rakan-rakan sekalian,

Siti Hajar ialah isteri kepada seorang nabi Ulul Azmi, iaitu Nabi Ibrahim.
Siti Hajar tidak lahir dari keluarga bangsawan, bukan juga dari keluarga ternama, malah hanya seorang hamba sebelum dia berkahwin dengan  Nabi Ibrahim.

Siti Hajar sanggup dibawa jauh dari kota kediaman dan berada jauh dari suami tercinta. Siti Hajar yakin Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanannya.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Pada suatu hari, Allah telah mengarahkan suaminya meninggalkan Siti Hajar di tempat yang jauh dari rumah mereka. Beliau langsung tidak mempersoalkan apa-apa dan tidak bersangka buruk kepada Allah dan suaminya. Luar biasa sungguh ketaatan beliau.

Siti Hajar telah ditinggalkan di sebuah padang pasir yang tandus dan  menyerahkan diri dan bayinya kepada Allah. Beliau yakin Allah tidak akan mempersia-siakan dirinya.

Rakan-rakan sekalian,

Walaupun ditinggalkan di padang pasir yang tandus dengan kudrat seorang wanita, dia tetap bangkit meneruskan kehidupan dalam segala kepayahan. Semua ini tidak mungkin dapat diharungi oleh wanita biasa-biasa yang tidak memiliki jiwa yang cukup tabah.

Siti Hajar sabar dalam menempuh kehidupan tanpa suami disisi untuk membantu membesarkan anak mereka. Dia sabar mengadu dan meluahkan perasaannya hanya kepada Allah. Kesabarannya sebagai seorang wanita, isteri dan ibu sangat luar biasa.

Rakan-rakan sekalian,

Siti Hajar sentiasa memandang positif segala ketentuan Allah. Dengan jiwa ini, darjat Siti Hajar diangkat tinggi oleh Allah walaupun dia lahir sebagai seorang hamba, status yang dipandang rendah oleh manusia. Namun hakikatnya beliau mendapat kedudukan luar biasa di sisi Allah dan di sisi manusia.

Pada masa kini kita dapat melihat ramai wanita yang sudah berani ke depan walaupun pelbagai ujian yang menimpa. Contohnya ibu tunggal yang kematian suami. Ramai di kalangan mereka yang sudah menjadi usahawan yang berjaya dan tidak pernah mengenal putus asa.

Pengajaran dari cerita ini ialah :

Pertama : Kita hendaklah sabar menghadapi ujian Allah dan tidak boleh berputus asa.

Kedua : Kita hendaklah taat kepada Allah dan Rasul-Nya tanpa sebarang prasangka buruk.

Ketiga : Kita hendaklah bertawakkal kepada Allah sesudah berusaha.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

TAHUN KEDUKAAN NABI (‘AMUL HAZN)

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia seterusnya guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Tahun Kedukaan Nabi Muhammad pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

Nabi Muhammad sendirian berduka,

Bapa saudaranya meninggal dunia,

Isteri baginda pun pergi jua .

Rakan-rakan sekalian,

Nabi Muhammad SAW mengalami tahun dukacita yang amat menyedihkan. Peristiwa dukacita itu adalah wafatnya dua orang yang sangat dicintai dan dikasihi baginda. Pertama, peristiwa wafatnya Abu Talib, seorang bapa saudara, yang memeliharanya sejak kecil, sejak baginda berusia 8 tahun. Beliau jugalah yang sentiasa melindungi dirinya dari pelbagai ancaman jahat kaum musyrik Quraisy.

Ketika awal dakwah Nabi Muhammad, orang-orang musyrik tidak pernah berani menyakiti baginda.

Nabi bersabda : “Orang-orang Quraisy tidak menggangguku dengan hal yang menyakitkan, sehinggalah akhir hayat bapa saudaraku Abu Talib”. Untuk pengetahuan rakan-rakan sekalian, Abu Talib adalah seorang pemimpin Quraisy yang amat disegani, serta memiliki pengaruh yang kuat tehadap kaum Quraiys.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Peristiwa kedua terjadi tidak begitu lama setelah wafatnya Abu Talib. Isteri baginda juga iaitu  Sayyidatina Khadijah juga telah wafat. Beliau ialah satu-satunya isteri yang mendampingi perjalanan dakwah Nabi sejak usia baginda 25 tahun. Sayyidatina Khadijah adalah isteri yang sangat setia dan sanggup mengorbankan segala apa yang dimilikinya demi Islam. Betapa agungnya kasih sayang Nabi terhadap isterinya sehingga beliau mengatakan :

“Allah tidak menggantikan bagiku seorang isteri seperti Khadijah. Dia orang yang pertama beriman, ketika semua orang mendustakan agamaku. Dia seorang yang paling mengasihi dan mencintaiku, ketika orang-orang membenciku. Dia juga yang mengorbankan segala apa yang dimilikinya demi kebesaran agamaku”.

Rakan-rakan sekalian,

Peristiwa wafatnya dua orang yang amat dicintai Nabi akhir zaman itu, menandakan permulaan “tahun dukacita” baginda. Kesannya, orang-orang kafir bertindak secara terang-terangan mengancam Nabi SAW, kerana dua orang yang melindunginya telah tiada. Mereka tidak segan-segan menghina dan melemparkan tanah atau kotoran pada kepala Nabi, ketika baginda berjalan atau solat.

Pada masa kini, kita dapat melihat ada juga orang kafir di Jerman menghina Nabi Muhammad dengan melukis lakaran kartun baginda di akhbar. Mereka langsung tidak memikirkan sensiviti umat Islam di dunia. Kita sebagai umat Islam harus mempertahankan maruah baginda supaya tidak sewenang-wenangnya mereka menghina Nabi kita.

Rakan-rakan sekalian,

Pengajaran dari cerita ini ialah :

Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.  Kita juga wajib percaya bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu perkara. Tiada perkara yang mustahil dunia ini.

Kedua : Kita juga hendaklah berani untuk berdakwah dan menyampaikan keindahan Islam kepada sesiapa saja.

Ketiga : Janganlah kita mencaci atau menghina orang lain kerana Allah swt akan membalasnya di akhirat kelak. Kita harus menolong mereka yang ditimpa musibah.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.