Category Archives: kisah-kisah nabi dari Al-Quran

mari baca cerita nabi..

KISAH KETABAHAN NABI AYYUB A.S

Saya ingin kongsikan teks kisah-kisah Nabi dalam Al-Quran yang disampaikan oleh anak murid saya dalam pertandingan bercerita bulan Mac yang lalu. Masih banyak kekurangan kerana masih lagi bertatih untuk menulis teks ini. Moga boleh dimanfaatkan.

Yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan sekalian.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Berjalan-jalan ke Tanjung Jara,

Bermain pasir bersama rakan,

Kisah Nabi Ayub pilihan cerita,

Mari bersama kita dengarkan.   (pantun)

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Tersebutlah kisah suatu cerita,

Kisah Nabi Ayyub diuji Ilahi,

Sifatnya alim, beriman dan bertakwa

Digoda iblis yang iri hati… (Syair)

Rakan-rakan sekalian,

Salah seorang malaikat telah berkata; “Aku tidak pernah melihat seorang manusia yang hidup di atas bumi Allah yang lebih baik dari hamba Allah Ayyub. Dia adalah seorang mukmin sejati dan ahli ibadah yang tekun. Walaupun mempunyai harta yang banyak, namun sebahagiannya digunakan  untuk menolong orang fakir miskin. Hari-harinya terisi penuh dengan ibadah, sujud kepada Allah dan bersyukur atas segala nikmat yang yang ada”. Para malaikat mengakui kebenaran itu bahkan menyebut lagi beberapa sifat dan tabiat yang lain yang ada pada diri Nabi Ayyub.

Hadirin sekalian,

Percakapan para malaikat yang memuji-muji Nabi Ayyub itu didengar oleh Iblis laknatullah yang sedang berada tidak jauh dari tempat mereka berkumpul. Mereka merasa panas hati dan jengkel mendengar kata-kata pujian para malaikat. Mereka tidak rela melihat seorang dari anak cucu anak Nabi Adam menjadi seorang mukmin yang baik, ahli ibadah yang tekun dan melakukan amal soleh.

Maka pergilah Iblis mendatangi Nabi Ayyub untuk melihat sejauh mana kebenaran pujian para malaikat itu. Ternyata memang benar Nabi Ayyub patut mendapat segala pujian itu. Siang dan malam sentiasa berada di mihrabnya untuk melakukan solat, berzikir, bertasbih dan bertahmid. Iblis pun menggoda Nabi Ayyub supaya asyik kepada dunia namun usahanya gagal. Telinga Ayyub pekak terhadap segala bisikannya dan hatinya sudah penuh dengan iman dan takwa. Cinta dan taatnya kepada Allah merupakan benteng daripada serangan godaan Iblis laknatullah.

Hadirin yang dikasihi,

Akan tetapi Iblis laknatullah masih tidak berputus asa lalu menghadap Allah untuk menghasut. Ia berkata : “Wahai Tuhan, sesungguhnya Ayyub yang menyembah, bertasbih dan bertahmid menyebut nama-Mu, tidak berbuat demikian seikhlas dan setulus hatinya kerana cinta dan taat pada-Mu. Ia melakukan semua itu kerana takut akan kehilangan semua kenikmatan duniawi yang telah Engkau kurniakan kepadanya”.

Lalu Allah berfirman : “Sesungguhnya Ayyub adalah seorang hamba-Ku yang sangat taat kepada-Ku, ia seorang mukmin sejati, apa yang ia lakukan untuk mendekati dirinya kepada-Ku adalah semata-mata didorong oleh iman yang teguh dan taat yang bulat kepada-Ku.

Seterusnya Allah mencabar iblis supaya menggoda Nabi Ayyub yang terkenal sebagai seorang yang beriman dan bertakwa.

Hadirin sekalian,

Setelah itu, iblis pun mengumpulkan syaitan-syaitan, pembantunya dan bersepakat untuk merosakkan aqidah dan iman Nabi Ayyub. Caranya ialah dengan memusnahkan harta kekayaannya sehingga ia menjadi seorang yang miskin, mencerai-beraikan keluarganya sehingga ia menjadi sebatang kara. Nabi Ayyub juga diuji dengan penyakit kulit yang teruk dan bermacam-macam penyakit yang lain sehingga baginda menjadi sangat kurus. Isteri yang dikasihinya juga meninggalkannya lantaran termakan pujukan syaitan durjana.

Maka tinggallah Nabi Ayyub sendirian dalam kesakitan namun baginda tetap tabah dan sabar kerana yakin dan beriman bahawa Allah sentiasa bersamanya.

Rakan-rakan sekalian,

Nabi Ayyub dipilih sebagai nabi dan teladan yang baik bagi hamba-hamba-Nya sehingga dikenali sebagai simbol kesabaran. Pengajaran dari cerita ini ialah : Pertama : Kita hendaklah beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya.  Kedua : Kita hendaklah sabar dalam menghadapi apa jua dugaan dan cabaran. Allah sentiasa bersama kita.

Sekian saja cerita saya..Sekian, terima kasih.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.